Umi Inspirasi
Tidak lama memikirkan perkara yang harus dicoretkan kali
ini, apa yang bermain di minda ialah mengapa saya menulisnya. Tidak kurang
ramai yang mengidolakan sekalian ramai orang berjaya, tidak kurang ramai juga
yang mengidolakan insan terdekat yang istimewa. Apapun itu, seseorang yang
istimewa yang berupaya memberi inspirasi pasti disayangi dengan sesungguh
sanubari.
Umi, yang selalu mendukung saat saya mula melangkah bahkan
menyambut saya yang kelelahan ketika hati saya mula parah dan lelah. Lantaran
hal demikian membuatku memanjatkan syukur kepada Allah kerana Allah yang Maha
Penyayang menitipkan sayang melalui orang yang dekat dengan saya, Umi.
Umi wanita kuat dan tabah. Seketika masa saya dititipkan
kepada umi melalui aturan Allah yang penuh hikmah, umi mengenepikan hasrat
hatinya menjadi seorang guru agama atas sebab tiada yang mengasuh diri saya
ketika itu. Hal ini menjadi sebab yang sangat mustahak untuk saya meneruskan
hasrat yang tertangguh itu.
Umi sangat jarang mengeluh tetapi amat tegas tentang hampir
semua perkara termasuklah waktu, adab, Al Quran, rezeki dan keluarga. Ketegasan
umi memudar dengan timbulnya kebaikan di hatinya. Orang-orang suka akan
kebaikan umi termasuklah saya. Tetapi realitinya dunia, ada waktunya
orang-orang akan membalas kebaikan yang setara, kebanyakan waktunya tidak sama
sekali. Bahkan ada yang cuma tahu mengambil kesempatan atas kebaikan, bahkan
ada yang tidak menghormatinya. Saya marah sekali pada orang-orang yang demikian
tetapi umi selalu mahu bersabar. Itulah indahnya umi.
Umi sangat suka berniaga. Seingat saya dulu saya masih
kecil budak tadika. Umi sudah mula berniaga. Tahun 2004 umi sudah membeli
sebuah kereta untuk memudahkan kami sekeluarga bergerak dari satu tempat ke
tempat yang lain. Apa yang diniagakan umi dulu sangat biasa tetapi luar
biasanya telah membesarkan saya dengan titik peluh menjual kuih-muih sahaja.
Seiring saya yang meningkat remaja, umi belajar macam-macam
jenis kuih tradisional dan pastry. Umi gembira dan mahu belajar lagi sampailah umi
berpeluang menyertai kursus pembuatan kek. Natijahnya, umi tidak lagi
mendagangkan kuih tradisi semata-mata tetapi pelbagai pastry dan kek juga.
Allah menambah rezeki umi kerana menurut saya umi sangat rajin berusaha. Bapa
juga tidak kurang memberi sokongan kepada umi. Umi tidak beranjak ke platform
lain tetapi mengembangkan jenis perniagaannya dengan catering. Acap kali
perkhidmatan catering umi dilamar untuk majlis yang besar-besar sehinggalah
sekecil-kecil hi-tea orang-orang di pejabat. Seringkas 20 tahun umi di dunia
perniagaan, maka ramailah kenalan umi secara tidak langsung sama ada kerana
keramahan umi ataupun kerana kualiti makanan yang disediakan. Tidak
menghairankan jika ke pekan, akan ada saja orang menegur dan menyapa. Tidak
mengejutkan jika umi membuka gerai dengan sekejap masa saja sudah tutup kerana
ramai pelanggan setia dan tetap membeli kuih, pastry dan kek yang tersedia. Bezanya,
dulu tidak selalu diuar-uarkan di media sosial. Baru kini digembar-gembur
tentang prestasi jualan yang jarang tidak rancak.
Selain itu, bagi saya, umi bagaikan perutusan. Pada setiap
minggu sebelum solat Jumaat di masjid, akan ada ‘jutawan senyap’ datang
menghulur duit buat disedekahkan di masjid. Biasanya umi akan sibuk memasak dan
menyediakan sekalian bentuk juadah untuk orang-orang masjid. Dan umi akan
sentiasa menyepikan nama sang pemberi yang pemurah. Segala-galanya dikembalikan
kepada ALLAH yang Maha Kaya.
Umi jarang berjauh hati. Walhal saya jarang mengambil
hatinya. Meskipun begitu, saya tidak pernah membelakangi umi berbicara soal
hati dan perasaan. Umi selalu terbuka untuk mendengar. Selalu sealiran
pemikiran dengan umi tetapi ada waktunya berbeza pandangan. Biasanya umi akan
mendengar kemudian sebab mengapa saya tidak bersetuju, mengapa saya tidak suka.
Umi juga akan jujur mengapa umi tidak suka, semuanya serta-merta agar tiada
rahsia.
Mengimbau zaman kanak-kanak yang warna-warni, amat jarang
waktu bersama-sama umi. Sehinggakan bapalah yang selalu menyuapkan makan,
bercerita dengan saya pelbagai cerita yang entah saya faham atau tidak ketika
itu. Umi sangat garang ketika itu, kalau saya boleh, baginya semua tidak boleh.
Kawan-kawan bebas berpeleseran, melepak sana sini, beruka ria, tetapi saya
dilarang, ke mana-mana harus dengan umi, hendak ke perpustakaan pun umi sanggup
menunggu. Lama-kelamaan barulah faham ketika itu saya belum cukup faham untuk
menanggung kesan dari setiap perkara yang dibuat. Ringkasnya, belum cukup
matang berbagai segi yang pada akhirnya menyelamatkan saya dari berbagai kesan
yang tidak baik. Pada kaca mata saya, saya menghabiskan masa bangku sekolah
dengan penuh bosan tetapi bagi umi tidak. Kepuasan bagi umi melihat saya
membesar di samping dirinya dengan selamat dan aman.
Zaman kuliah saya pula, umi tidak pernah keberatan
mengirimkan wang padahal umi tidak bergaji setiap bulan. Memahami keadaan itu,
pada ketika benar-benar perlu saja barulah saya memberitahu umi supaya
dikirimkan duit. Pun begitu, ada saja badai yang datang. Siapakah kita untuk
tidak diuji? Saat-saat genting beginilah saya selalu berbicara matang dan
menyakinkan umi semua akan dapat diatasi. Sebagaimana umi selalu memujuk hati
saya yang sudah tidak bertenaga mengejar cita-cita pada satu-satu masa. Dan, bukan
sekali dua umi pernah kecewa dalam perniagaan. Umi juga pernah berniaga emas. Akhirnya
hampir kerugian RM1000+++ kerana pemiutang mengelak dari membayar. Pemiutang
masih pura-pura sehingga kini. Umi malas mengenang, saya apatah lagi. Untuk
jatuh ke lubang yang sama untuk kedua kalinya, tidak mungkin dan tidak mahu.
Memberi hutang adalah sesuatu yang sulit buat umi sampailah sekarang.
Tanggal 20 Ogos nanti adalah hari konvokesyen saya. Segala
rasa terharu dan syukur selama ini akan dikongsi detik-detik indahnya bersama
umi, bapa, adik, suami dan seluruh keluarga. Gembira. Ahamdulillah.
Yang Sayang,
Kejora.
No comments:
Post a Comment