Friday 9 August 2019

Umi Inspirasi


Umi Inspirasi
Tidak lama memikirkan perkara yang harus dicoretkan kali ini, apa yang bermain di minda ialah mengapa saya menulisnya. Tidak kurang ramai yang mengidolakan sekalian ramai orang berjaya, tidak kurang ramai juga yang mengidolakan insan terdekat yang istimewa. Apapun itu, seseorang yang istimewa yang berupaya memberi inspirasi pasti disayangi dengan sesungguh sanubari.
Umi, yang selalu mendukung saat saya mula melangkah bahkan menyambut saya yang kelelahan ketika hati saya mula parah dan lelah. Lantaran hal demikian membuatku memanjatkan syukur kepada Allah kerana Allah yang Maha Penyayang menitipkan sayang melalui orang yang dekat dengan saya, Umi.
Umi wanita kuat dan tabah. Seketika masa saya dititipkan kepada umi melalui aturan Allah yang penuh hikmah, umi mengenepikan hasrat hatinya menjadi seorang guru agama atas sebab tiada yang mengasuh diri saya ketika itu. Hal ini menjadi sebab yang sangat mustahak untuk saya meneruskan hasrat yang tertangguh itu.
Umi sangat jarang mengeluh tetapi amat tegas tentang hampir semua perkara termasuklah waktu, adab, Al Quran, rezeki dan keluarga. Ketegasan umi memudar dengan timbulnya kebaikan di hatinya. Orang-orang suka akan kebaikan umi termasuklah saya. Tetapi realitinya dunia, ada waktunya orang-orang akan membalas kebaikan yang setara, kebanyakan waktunya tidak sama sekali. Bahkan ada yang cuma tahu mengambil kesempatan atas kebaikan, bahkan ada yang tidak menghormatinya. Saya marah sekali pada orang-orang yang demikian tetapi umi selalu mahu bersabar. Itulah indahnya umi.
Umi sangat suka berniaga. Seingat saya dulu saya masih kecil budak tadika. Umi sudah mula berniaga. Tahun 2004 umi sudah membeli sebuah kereta untuk memudahkan kami sekeluarga bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Apa yang diniagakan umi dulu sangat biasa tetapi luar biasanya telah membesarkan saya dengan titik peluh menjual kuih-muih sahaja.
Seiring saya yang meningkat remaja, umi belajar macam-macam jenis kuih tradisional dan pastry. Umi gembira dan mahu belajar lagi sampailah umi berpeluang menyertai kursus pembuatan kek. Natijahnya, umi tidak lagi mendagangkan kuih tradisi semata-mata tetapi pelbagai pastry dan kek juga. Allah menambah rezeki umi kerana menurut saya umi sangat rajin berusaha. Bapa juga tidak kurang memberi sokongan kepada umi. Umi tidak beranjak ke platform lain tetapi mengembangkan jenis perniagaannya dengan catering. Acap kali perkhidmatan catering umi dilamar untuk majlis yang besar-besar sehinggalah sekecil-kecil hi-tea orang-orang di pejabat. Seringkas 20 tahun umi di dunia perniagaan, maka ramailah kenalan umi secara tidak langsung sama ada kerana keramahan umi ataupun kerana kualiti makanan yang disediakan. Tidak menghairankan jika ke pekan, akan ada saja orang menegur dan menyapa. Tidak mengejutkan jika umi membuka gerai dengan sekejap masa saja sudah tutup kerana ramai pelanggan setia dan tetap membeli kuih, pastry dan kek yang tersedia. Bezanya, dulu tidak selalu diuar-uarkan di media sosial. Baru kini digembar-gembur tentang prestasi jualan yang jarang tidak rancak.
Selain itu, bagi saya, umi bagaikan perutusan. Pada setiap minggu sebelum solat Jumaat di masjid, akan ada ‘jutawan senyap’ datang menghulur duit buat disedekahkan di masjid. Biasanya umi akan sibuk memasak dan menyediakan sekalian bentuk juadah untuk orang-orang masjid. Dan umi akan sentiasa menyepikan nama sang pemberi yang pemurah. Segala-galanya dikembalikan kepada ALLAH yang Maha Kaya.
Umi jarang berjauh hati. Walhal saya jarang mengambil hatinya. Meskipun begitu, saya tidak pernah membelakangi umi berbicara soal hati dan perasaan. Umi selalu terbuka untuk mendengar. Selalu sealiran pemikiran dengan umi tetapi ada waktunya berbeza pandangan. Biasanya umi akan mendengar kemudian sebab mengapa saya tidak bersetuju, mengapa saya tidak suka. Umi juga akan jujur mengapa umi tidak suka, semuanya serta-merta agar tiada rahsia.
Mengimbau zaman kanak-kanak yang warna-warni, amat jarang waktu bersama-sama umi. Sehinggakan bapalah yang selalu menyuapkan makan, bercerita dengan saya pelbagai cerita yang entah saya faham atau tidak ketika itu. Umi sangat garang ketika itu, kalau saya boleh, baginya semua tidak boleh. Kawan-kawan bebas berpeleseran, melepak sana sini, beruka ria, tetapi saya dilarang, ke mana-mana harus dengan umi, hendak ke perpustakaan pun umi sanggup menunggu. Lama-kelamaan barulah faham ketika itu saya belum cukup faham untuk menanggung kesan dari setiap perkara yang dibuat. Ringkasnya, belum cukup matang berbagai segi yang pada akhirnya menyelamatkan saya dari berbagai kesan yang tidak baik. Pada kaca mata saya, saya menghabiskan masa bangku sekolah dengan penuh bosan tetapi bagi umi tidak. Kepuasan bagi umi melihat saya membesar di samping dirinya dengan selamat dan aman.
Zaman kuliah saya pula, umi tidak pernah keberatan mengirimkan wang padahal umi tidak bergaji setiap bulan. Memahami keadaan itu, pada ketika benar-benar perlu saja barulah saya memberitahu umi supaya dikirimkan duit. Pun begitu, ada saja badai yang datang. Siapakah kita untuk tidak diuji? Saat-saat genting beginilah saya selalu berbicara matang dan menyakinkan umi semua akan dapat diatasi. Sebagaimana umi selalu memujuk hati saya yang sudah tidak bertenaga mengejar cita-cita pada satu-satu masa. Dan, bukan sekali dua umi pernah kecewa dalam perniagaan. Umi juga pernah berniaga emas. Akhirnya hampir kerugian RM1000+++ kerana pemiutang mengelak dari membayar. Pemiutang masih pura-pura sehingga kini. Umi malas mengenang, saya apatah lagi. Untuk jatuh ke lubang yang sama untuk kedua kalinya, tidak mungkin dan tidak mahu. Memberi hutang adalah sesuatu yang sulit buat umi sampailah sekarang.
Tanggal 20 Ogos nanti adalah hari konvokesyen saya. Segala rasa terharu dan syukur selama ini akan dikongsi detik-detik indahnya bersama umi, bapa, adik, suami dan seluruh keluarga. Gembira. Ahamdulillah.




Yang Sayang,


Kejora.

No comments:

Post a Comment